Siaran Akhbar

Muzik

Adakah mungkin muzik Timur dan Barat yang berbeza dapat mencapai keharmonian? Ramai telah mencuba tetapi gagal. Namun keupayaan untuk menggabungkan dua sistem ini secara lancar, mencipta satu alunan baharu yang harmoni, adalah keunikan yang dimiliki oleh Orkestra Shen Yun Performing Arts.

Inilah cara kesan tersebut dicapai: Orkestra Barat berfungsi sebagai asas, manakala instrumen tradisional Cina mengetuai melodi. Bunyi yang terhasil amat menyenangkan telinga. Gabungan ini pada masa yang sama menampilkan kehebatan orkestra Barat dan kehalusan naluri tamadun China yang berusia 5,000 tahun.

Instrumen Cina tersebut termasuklah erhu, dizi, pipa, dan suona. Semua instrumen Cina diklasifikasikan berdasarkan bahan pembuatannya kepada lapan kategori: jin (logam), shi (batu), tu (tanah liat), ge (kulit), si (sutera), mu (kayu), bao (labu), dan zhu (buluh). Kumpulan lapan kategori ini dikenali sebagai ba yin, atau “lapan bunyi.” Kesemua bahan yang digunakan untuk membuat instrumen ini berasal dari alam semula jadi, dan makna serta simbolisme setiap satu daripadanya amat rapat dengan asal-usul semula jadinya.

Walaupun setiap instrumen Cina berbeza sama sekali dari segi karakter, interaksi mereka menghasilkan bunyi merdu yang boleh mengejutkan pendengar. Malah, emosi yang mampu ditimbulkan oleh instrumen-instrumen ini adalah begitu halus dan kompleks pada masa yang sama. Menerusi keunggulan teknikal dan ekspresi emosi pemain, apa jua perasaan manusia boleh digambarkan.

Namun fokus muzik Cina bukan semata-mata kepada manusia. Mungkin kerana bahan pembuatannya berasal dari alam semula jadi, instrumen-instrumen ini mahir membangkitkan suasana alam semula jadi dan juga kayangan. Sesungguhnya, perkara yang mampu diekspresikan oleh muzik Cina adalah luhur dan mendalam.