Maharaja Menaiki Takhta: Kisah Agung Kangxi

Potret Maharaja Kangxi muda.
Maharaja Kangxi pernah menulis: “Apakah aku ini, sehingga di antara semua yang pernah memerintah… akulah yang paling lama memerintah?”
Pada pertengahan abad ke-17, Kangxi memerintah Negara Pusat (Middle Kingdom) selama 61 tahun. Dalam 5,000 tahun peradaban Cina, beliau bukan sahaja berkhidmat sebagai maharaja yang paling lama, tetapi beliau juga dikenang sebagai salah seorang maharaja yang paling bijak, paling murah hati, dan paling banyak mencapai kejayaan.
Kangxi ialah maharaja keempat Dinasti Qing (1644-1911). Pemerintah Qing bukan beretnik Cina Han. Mereka adalah orang Manchu dari suku kaum di utara Tembok Besar. Mereka telah bersatu, mara ke selatan, dan menggantikan dinasti China sebelumnya, iaitu Ming, semasa zaman kejatuhannya.
Legasi Kangxi yang cemerlang terletak pada kejayaannya menyatukan semula empayar yang luas ini, baik dari segi politik mahupun sosial, mengukuhkan pemerintahan Dinasti Qing, dan menyumbang pelbagai pembangunan budaya dan ekonomi.
Walau bagaimanapun, semua ini hampir tidak menjadi kenyataan, kerana ketika beliau mula-mula menaiki takhta sebagai seorang kanak-kanak, pemerintahan Kangxi hampir berakhir sebelum ia bermula.
Permulaan Yang Penuh Kesukaran
Pada tahun-tahun awal Qing, empayar masih berada dalam keadaan kucar-kacir. Selain kekacauan daripada peperangan yang baru berlaku yang membawa kepada perubahan dinasti, terdapat juga saki-baki pemberontakan dan sebahagian besar rakyat Cina tetap bimbang terhadap pemimpin asing baharu mereka.
Dinasti Qing ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1644 dan Kangxi dilahirkan 10 tahun kemudian. Ketika beliau baru berusia 8 tahun, bapanya meninggal dunia akibat cacar. Dalam titah terakhirnya, maharaja telah mengisytiharkan empat penasihat terdekatnya untuk berkhidmat sebagai majlis pemangku raja bagi anak lelakinya yang masih kecil itu. Mereka ditugaskan untuk membantu anak itu menguruskan hal ehwal negara sehingga beliau mencapai kematangan.
Pegawai-pegawai kanan ini ialah putera bukan kerabat diraja yang telah berkhidmat kepada maharaja Qing dengan kesetiaan dan merit. Tetapi dengan perubahan peristiwa itu, seorang pegawai yang dahagakan kuasa melihat peluangnya untuk merebut takhta.
Kemunculan Aobai
Aobai (Gūwalgiya Oboi dalam bahasa Manchu) ialah seorang jeneral yang berpangkat tinggi daripada klan Manchu elit. Malangnya, kehebatannya di medan perang disertai dengan sifat diktator. Aobai menghancurkan sesiapa sahaja yang menghalang laluannya dan menjadi tokoh yang paling berkuasa di mahkamah diraja. Beliau mendapat ramai musuh, dan hampir tiada sesiapa pun yang berani menentangnya.
Bagi maharaja muda itu, Aobai memandangnya rendah. Lagipun, jeneral itu telah berperang dan memenangi banyak peperangan berdarah berdekad-dekad sebelum budak mentah ini dilahirkan; beliau mempunyai lebih banyak parut pertempuran pada badannya daripada bilangan pencapaian yang boleh dihitung oleh Kangxi. Aobai menganggap bahawa Kangxi hanya akan menjadi boneka bagi helah beliau sendiri.
Kangxi membesar di bawah kezaliman ini. Beliau memerhati secara diam-diam dan menunggu masa. Apabila Kangxi mencapai usia 14 tahun, iaitu usia dewasa bagi orang Manchu, beliau secara rasmi menaiki takhta. Beliau kini berada dalam laluan pertembungan dengan Aobai.
Jubah Maharaja
Aobai yang semakin mendominasi, menempatkan anggota puak politiknya ke dalam jawatan berkuasa di seluruh kerajaan, menganiaya orang yang tidak terkira banyaknya yang menentangnya, mengabaikan kepentingan negara demi kepentingan dirinya sendiri, dan lebih daripada tidak menghormati maharaja.
Aobai malah berani membuat set jubah naga diraja kuningnya sendiri—pakaian simbolik yang hanya boleh dipakai oleh maharaja. Ini adalah penderhakaan besar!
Pada suatu hari, ketika Aobai sedang mencuba jubah baharunya dan mengagumi imejnya sebagai maharaja, seorang pelawat tiba-tiba muncul di rumah agamnya. Ia adalah utusan diraja yang menyampaikan titah diraja terkini: pengumuman rasmi bahawa Kangxi kini telah menaiki takhta sepenuhnya sebagai maharaja yang sah. Apabila pegawai ini menyedari pakaian Aobai yang kurang ajar itu, beliau terkejut dan mengarahkan pengawal diraja untuk bertindak. Tetapi orang-orang ini bukan tandingan Aobai, yang mencampakkan mereka ke tepi seperti anak patung kain, lalu berangkat untuk melawan.
Utusan itu bergegas kembali ke istana mendahului Aobai. Semasa beliau sedang melaporkan kesalahan itu, jeneral yang zalim itu tiba di tempat kejadian. Beliau mengelilingi kawasan itu, mengugut dan menghina semua orang daripada pegawai hingga kepada maharaja. Bualan besar Aobai menjelaskan bahawa beliau tidak memandang tinggi Kangxi, sama ada bermahkota atau tidak, dan akan terus melakukan sesuka hatinya. Kemudian beliau berjalan pergi dengan angkuh, yakin bahawa beliau masih menguasai seluruh istana. Walau bagaimanapun, kali ini, Kangxi yang remaja telah bersedia untuk menjatuhkannya.
Pertarungan Terakhir
Kangxi telah lama mengetahui bahawa Aobai adalah ancaman yang semakin membarah terhadap pemerintahan sahnya dan juga masa depan dinasti. Itulah sebabnya, bertahun-tahun sebelum itu, beliau telah mengumpulkan sekumpulan kerabat diraja Manchu muda di sekelilingnya. Aobai menganggap mereka sebagai kebudak-budakan, tidak bercita-cita tinggi, dan tidak penting. Tetapi Kangxi sebenarnya telah memilih mereka yang paling cerdik dan kuat. Dan apa yang selalu dianggap remeh oleh Aobai sebagai permainan kebudak-budakan, sebenarnya adalah latihan Kangxi untuk pertembungan muktamad mereka.
Beginilah ia berlaku: Pada musim bunga tahun 1669, maharaja muda itu memanggil Aobai yang semakin agresif ke mahkamah. Aobai masuk dengan langkah santai, sentiasa yakin dan tidak menyedari apa-apa. Sebelum beliau menyedarinya, beliau didakwa dengan 30 pertuduhan jenayah serius dan dikelilingi oleh pengikut muda Kangxi. Walaupun marah namun terdesak, Aobai mengeluarkan pisau belatinya (kegagalan untuk melucutkan senjata sebelum memasuki kehadiran maharaja adalah satu lagi kesalahan besar) dan terus menyerang maharaja. Beliau melawan dengan gigih, tetapi orang muda Kangxi kuat dan ramai. Selepas pergelutan sengit, Aobai akhirnya ditundukkan, buat selama-lamanya.
Permulaan Pemerintahan Yang Gemilang
Episod sukar pada tahun-tahun awalnya ini menunjukkan keberanian, pandangan jauh, dan keazaman Kangxi yang luar biasa. Maharaja muda itu membuktikan dirinya sebagai seorang maharaja yang cerdas, taktikal, dan layak.
Dalam setengah abad berikutnya, Kangxi berkhidmat kepada negaranya tanpa mengenal penat lelah. Beliau menstabilkan dinasti, mendamaikan pemberontakan dalaman dan pesaing asing, serta meluaskan sempadan China ke barat dan utara. Di bawah pemerintahan yang penuh kemurahan hati, empayar itu makmur.
Kangxi juga mempunyai minat yang mendalam terhadap ilmu pengetahuan. Sepanjang hidupnya, beliau terus menerus mengejar dan mempromosikan ajaran Cina purba, kaligrafi, puisi, dan muzik. Beliau membuat kemajuan besar dalam bidang geografi, sains, kejuruteraan, matematik, dan astronomi. Beliau menugaskan banyak kompilasi rekod, peta, sejarah, dan kesusasteraan, serta karya-karya ensiklopedia seperti Kamus Kangxi.
Maharaja Kangxi memulakan zaman yang gemilang dalam sejarah China lewat imperial. Sepanjang sejarah China, kedudukan maharaja datang dengan gelaran Anak Syurga. Kelangsungan Kangxi di atas takhta dengan demikian diambil sebagai tanda perkenan dari atas.
Kisah tarian klasik Cina Shen Yun 2016 Bertahan Mempertahankan Takhta menceritakan kisah pertembungan antara Kangxi muda dan Aobai.
January 25, 2016
